BALASAN PERBUATAN ZINA

Sunday, July 21, 2013

Assalamualaikum & salam sejahtera.




BALASAN PERBUATAN ZINA KETIKA DI DUNIA JUGA AKHIRAT


Berbagai balasan yang merupakan hukuman yang terpaksa diterima oleh para penzina ketika di dunia. Balasan & azab siksa akan menjadi lebih dahsyat lagi di akhirat kelak – sama ada di Padang Mahsyar, di Titian Sirodh atau pun di dalam neraka Jahanam. Banyak ayat2 al-Quran serta hadis2 yg menceritakan kedahsyatan siksaan di dalam neraka. (Wa Na’uzu bi Allahi min zaalik!)

Rasulullah SAW juga ada memberitahu bahawa kesalahan berzina akan dibalas oleh Allah ketika penzina masih hidup dan berada di dunia lagi.

Rasulullah SAW bersabda:

"Dua (2) kejahatan akan dibalas oleh Allah ketika di dunia: zina dan derhaka kepada ibu bapa." (Riwayat Thobaroni)

Antara hukuman atau balasan yang akan diterima oleh para penzina ketika masih berada di dunia lagi dan juga di akhirat ialah:


* Sabda Rasulullah SAW:


Wahai kaum Muslimin! Jauhilah perbuatan zina kerana padanya ada 6 macam bahaya, 3 macamnya di dunia dan 3 macam lagi di akhirat. Adapun bahaya yang akan menimpanya di dunia ialah:

1. Lenyapnya cahaya dari mukanya

2. Memendekkan umur

3. Mengekalkan kemiskinan.

Adapun bahaya yang bakal menimpa di akhirat kelak ialah:

1. Kemurkaan Allah Ta’ala

2. Hisab (perhitungan) yang buruk

3. Siksaan di neraka.

(Riwayat Baihaqi)


* Sabda Rasulullah SAW lagi:


Berhati-hatilah kamu tentang zina. Sesungguhnya pada zina itu ada enam (6) hukuman. Tiga semasa di dunia dan tiga lagi di akhirat. Adapun di dunia ialah:

1. rezekinya akan berkurangan,

2. hilang keberkatan hidup, dan

3. ruhnya akan keluar dari badan dalam keadaan terlindung dari Allah Ta’ala. Allah tidak akan melihat kepada ruhnya.


* Adapun nasib yang akan menimpanya di akhirat ialah:


1. Allah akan melihat kepadanya dengan pandangan kemurkaan, yang menyebabkan mukanya akan menjadi hitam.

2. Dia akan ditarik mukanya dengan rantai ke neraka (api) yang paling besar.

3. Kiraan amalannya akan dilakukan dengan teliti dan ketat.


Selain dari balasan dunia dan juga siksaan di akhirat, ada juga hukuman azab ketika berada di dalam kubur bagi mereka yang berzina ketika di dunia.


* Rasulullah SAW bersabda:


Sesiapa yang memenuhkan (menggunakan) matanya kepada yang haram, Allah akan memenuhkan matanya dengan bara api neraka Jahanam. Sesiapa yang berzina dengan wanita yang haram baginya, Allah akan meletakkannya di dalam kubur dengan penuh kehausan, berbogel, menangis, dan sedih. Wajahnya akan dihitamkan seperti gelap gelita. Di tengkuknya akan digantung dengan ikatan rantai dari neraka. Dia akan dipakaikan dengan baju dari api neraka pada tubuhnya. Allah tidak akan berbicara dengannya pada hari kiamat. Dia juga tidak akan disucikan (dimuliakan) dan bagi mereka azab yang amat pedih.


Balasan-balasan serta hukuman lain ketika berada di akhirat kelak ialah:


* Sabda Rasulullah SAW:


Tiga golongan manusia Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat, tidak akan memandang kepada mereka, dan tidak akan mensucikan mereka, sedang mereka akan ditimpa siksaan yang pedih, iaitu:


1. Orang tua yang berzina

2. Seorang raja yang pendusta

3. Orang melarat yang sombong.

(Riwayat Muslim dan Nasa’I)


Hadis ini menerangkan bahawa balasan yang akan diterima oleh orang tua yang berzina pada hari kiamat kelak ialah Allah tidak akan berbicara dan memandang kepada mereka, sedang mereka tidak akan disucikan (diampunkan dosa) dan akan ditimpakan azab siksa yang pedih. Wa al-‘iyazu bi Allah!


* Sabda Rasulullah SAW:


Ahli neraka akan menjerit akibat bau yang terlalu busuk dari kemaluan orang yang berzina.

Antara balasan yang akan diterima oleh para penzina di akhirat kelak ialah mereka akan dihumbankan ke dalam neraka dan kemaluan mereka akan mengeluarkan bau yang terlalu amat busuk sehingga menyebabkan para penghuni neraka yang lain menjerit-jerit kemarahan dan merasa tertekan dengan bau yang kuat dan busuk itu! Wa na’uzu bi Allahi min zalik!


* Rasulullah SAW bersabda lagi:


Mafhumnya:

Penzina, pada hari kiamat, akan datang dalam keadaan kemaluan mereka bernyala dengan nyalaan api. Semua makhluk mengenali mereka kerana bau kemaluan yang terlalu busuk. Muka-muka mereka akan ditarik ke neraka. Apabila mereka memasuki neraka, malaikat Malik akan memakaikan mereka dengan sepasang baju besi dari api neraka. Sekiranya baju besi tersebut diletakkan di atas sebuah gunung, nescaya ia akan lebur menjadi abu. Malaikat Malik akan berkata: “Wahai sekalian malaikat, cucukkan mata-mata mereka dengan paku-paku besi sebagaimana mereka melihat kepada yang haram. Ikatkan tangan-tangan mereka dengan ikatan api neraka sebagaimana mereka melangkaukannya (memeluk) kepada perkara yang haram. Ikatkan kaki-kaki mereka dari ikatan api neraka sebagaimana mereka berjalan kepada tempat yang haram. Malaikat Zabaniah akan berkata: “Ya…Ya…! Malaikat Zabaniah mengikat tangan-tangan serta kaki-kaki mereka, dan mata-mata mereka dicucuk dengan paku neraka. Mereka semua akan menjerit dan berkata: “Wahai sekalian malaikat Zabaniah! Kasihanilah kami …! Ringankanlah kami dari azab siksa buat seketika.” Malaikat Zabaniah akan berkata: “Bagaimana kami hendak mengasihi kamu sedangkan Allah Yang Maha Pengasih begitu amat memurkai kamu.”

Demikianlah nasib yang buruk bagi orang yang melakukan zina semasa di dunia. Rayuan demi rayuan tidak diendahkan. Hukuman dan siksaan tetap diteruskan bagi menghukum mereka.

Semasa Isra’ dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW menyaksikan balasan yang diterima oleh orang-orang yang berzina.


* Hadis Rasulullah SAW menyatakan:


Pada malam Isra’, aku melihat di dalam neraka sebuah pembakar dari tembaga. Kepalanya kecil dan bawahnya luas. Di dalamnya ada wanita dan lelaki yang dikurung bersama ular-ular dan kala jengking. Ia akan menyengat dan menggigit mereka. Ular pula akan mematuk mereka dengan menyalurkan bisa di setiap tempat patukan hingga mengalir di antara keduanya. Kala pula akan menyengat mereka di setiap tempat. Sekali sengatan racun akan masuk ke dalam daging. Kemaluannya akan mengeluarkan nanah sehingga ahli neraka yang lain menjerit kerana terlalu busuk. Perasaan ahli neraka tertekan dengan kehadiran mereka. Aku bertanya: “Siapa mereka itu?” Jibril menjawab: “Lelaki dan wanita yang berzina.”

Marilah kita berlindung kepada Allah Yang Maha Pengasih daripada perlakuan-perlakuan buruk ahli neraka, azab siksa neraka, dan kemurkaan Allah Ta’ala.

Bagi mereka yang berzina dengan isteri lelaki-lelaki lain, mereka akan dilaknat oleh semua makhluk ciptaan Allah. Ini jelas sekali dalam sabda Rasulullah SAW:

Sesiapa yang berzina dengan wanita yang telah bersuami, mereka akan menerima azab separuh umat. Pada hari kiamat Allah Ta’ala akan memberi suaminya kebaikan yang diambil dari lelaki yang berzina dengan isterinya. Dosanya pula akan diberi kepada lelaki tersebut. Lelaki tersebut akan digiring ke neraka oleh malaikat Zabaniah sekiranya suami wanita tersebut tidak mengetahui. Sekiranya dia mengetahui perbuatan isterinya berzina dengan lelaki lain, sedangkan dia hanya mendiamkan diri, Allah Ta’ala akan mengharamkannya dari memasuki syurga.

Allah Ta’ala akan menulis di pintu syurga: “Engkau haram (memasukinya) kerana dayus, sedangkan engkau tahu akan perbuatan keji yang dilakukan oleh ahli keluarga engkau. Engkau tidak akan memasuki syurga buat selama-lamanya. Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi serta gunung ganang akan melaknat orang yang berzina dan dayus.

Hindarilah diri kita dari perbuatan zina dan dari menjadi manusia yang dayus. Dan jauhilah diri dari mendapat laknat Allah, malaikat, manusia, dan sekalian makhluk.


* Sabda Rasulullah SAW lagi mengenai perkara yang berkaitan dengan zina:


Sesiapa yang berjabat tangan dengan wanita yang haram baginya, maka pada hari kiamat kelak tangannya akan diikat ke tengkuk dengan rantai dari api neraka.

Sesiapa yang mencium (mengucup) wanita yang haram baginya, malaikat Zabaniah akan meminjamkan bibirnya dari api neraka (untuk dikucup).

Sekiranya berzina dengannya (wanita haram), dua pehanya akan berkata di hadapan Allah Ta’ala: “Aku telah melakukan ini dan ini…” Allah Ta’ala akan memandangnya dengan pandangan kemurkaan. Daging mukanya akan luruh dan hanya tulang-tulang muka sahaja yang tinggal tanpa daging. Allah Ta’ala akan berfirman kepada daging: “Kembalilah dengan izinKu! Maka daging itu kembali ke muka. Ia kekal di muka dalam keadaan terlalu hitam dari kubur dan kegelapan.

Hamba/manusia cuba takbur di hadapan Allah Ta’ala lalu berkata: “Aku tidak berbuat dosa kepadaMu, wahai Tuhan, buat selama-lamanya.”

Allah Ta’ala berfirman kepada lidah: “Engkau menjadi bisu!” maka dengan serta merta lidah menjadi bisu.

Tangan berkata: “Tuhanku, aku pernah mengambil benda yang haram.” Mata pula berkata: “Aku telah melihat perkara yang haram.” Kaki juga berkata: “Aku berjalan di tempat yang haram.” Kemaluan berkata: “Aku telah melakukannya dan aku telah melakukannya.”

Berkata pula malaikat penjaga: “Aku telah mendengarnya.” Malaikat penulis juga berkata: “Aku telah menulisnya.” Bumi juga turut berkata: “Aku telah melihatnya.” Allah Ta’ala berfirman pula: “Demi Aku, demi KeagunganKu dan demi KetinggianKu, Aku membawanya dan menutupnya. Wahai malaikatKu, tangkaplah dia dan lemparkan dia di dalam azab. Aku memurkainya. KemurkaanKu akan memuncak bagi mereka yang menderhaka kepadaKU dan orang-orang yang tidak malu kepadaKu.”

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook

Cbox

Subscribe