MAHRAM BAGI WANITA
Wednesday, August 21, 2013
Mahram Bagi Wanita
Mahram bagi wanita adalah mereka yang boleh memandangnya, berdua dengannya, melakukan safar (perjalanan) bersama, diharamkan bernikah dengannya untuk selamanya dengan sebab fitrah yang menjadikannya mahram.
Siapakah Mahram yang dibolehkan menampakkan sebahagian aurat kepadanya dan diharamkan berkahwin dengannya?
Allah s.w.t berfirman:
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka
menahan (menjaga) pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka
menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan
hendaklah mereka menutupkan (memanjangkan) kain tudung (khimar) ke dadanya, dan
janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah
mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera (anak-anak lelaki) mereka,
atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau
putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan
mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau
pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau
anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka
memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya
kamu beruntung”.” (Surah An-Nuur, 24:31)
Dalam ayat ini Allah s.w.t menjelaskan bolehnya mahram
melihat bahagian perhiasan (aurat tertentu) dari tubuh wanita.
“…dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada
suami mereka, atau ayah mereka, atau…”
Di antara hikmah bolehnya wanita tidak menutup bahagian
aurat tertentu di hadapan mahram adalah bagi memudahkan pelbagai urusan mereka.
Di mana antaranya mereka sentiasa berada bersama bercampur-baur di dalam rumah yang
sama.
Daripada ayat tersebut, Allah s.w.t memulakannya berdasarkan
turutan berikut:
1. Suami.
2. Bapa, termasuk datuk. Termasuk datuk dari pihak ibu.
3. Bapa suami (bapa mertua).
4. Anak-anak mereka dan anak-anak suami mereka. Termasuklah
cucu dan seterusnya.
5. Saudara secara mutlak, sama ada saudara kandung
(adik-beradik), saudara se-bapa, saudara se-ibu, dan seterusnya ke bawah.
6. Anak-anak saudara lelaki (anak saudara) dan anak-anak
saudara perempuan.
7. Pakcik dari pihak ayah atau dari pihak ibu. Mereka
termasuk di dalam cakupan mahram, walaupun tidak termasuk di dalam ayat
tersebut.
Terdapat sebahagian ulama menyatakan bahawa pakcik dari
pihak ayah atau dari pihak ibu tidak termasuk mahram yang dibolehkan untuk
tidak menutup aurat. Ini adalah berdasarkan daripada atsar yang diriwayatkan
oleh Ibnul Mundzir dari ‘Ikrimah ketika menafsirkan ayat 31 dari surah an-Nuur,
Ia (‘Ikrimah) berkata, “Pada ayat ini Allah tidak menyebutkan pak cik dari
pihak bapa atau pak cik dari pihak ibu. Kerana hukum pakcik dari pihak bapa
atau pakcik dari pihak ibu mengikuti putera-putera pak cik mereka (sepupu).
Dengan demikian, mereka tidak boleh melepaskan khimar (tudung) ketika
berhadapan dengan pakcik dari pihak bapa atau pakcik dari pihak ibu.” (Ibnu Abi
Syaibah, al-Mushannaf, 4/338. Lihat: Tafsir Ibnu Katsir)
Namun, (lebih tepat) kebanyakan ulama berpendapat bahawa
mereka (Pakcik dari pihak ayah atau dari pihak ibu) adalah sama hukumnya dengan
mahram yang lainnya dengan berdalilkan hadith dari Aisyah r.a: “Bahawasanya Aflah,
saudara Abul Qu’ais (iaitu pak cik sepersusuannya) datang meminta izin untuk
menziarahinya (menemuinya) setelah diturunkan ayat Hijab. Aisyah r.a berkata,
“Aku tidak mengizinkannya”. Ketika Rasulullah s.a.w datang, aku menceritakan
apa yang telah aku lakukan. Ternyata beliau menyuruhku supaya mengizinkannya
menemuiku.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
8. Mahram kerana sepersusuan juga tidak disebutkan melalui
ayat terebut. Namun, para ulama berhujjah dengan hadith dari Aisyah tadi dan
bersepakat bahawasanya mereka sama seperti mahram yang lainnya.
9. Mereka yang diharamkan bernikah dengannya untuk selamanya
seperti ibu/bapa kepada suami/isteri dan suami kepada ibu mereka (iaitu suami
kepada ibu yang telah bersetubuh dengan ibu).
Mahram Sementara Yang Diharamkan Berkahwin Dengannya (Namun
tidak semestinya boleh menampakkan aurat kepadanya)
Allah s.w.t berfirman:
“Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu, anak-anakmu
yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang
perempuan, saudara-saudara ibumu yang perempuan, anak-anak perempuan dari
saudara-saudaramu yang laki-laki, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu
yang perempuan, ibu-ibumu yang menyusui kamu, saudara perempuan sepersusuan,
ibu-ibu isterimu (mertua), anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari
isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu
itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengawininya; (dan
diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu), dan menghimpunkan
(dalam perkawinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi
pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. dan
(diharamkan juga kamu mengawini) wanita yang bersuami, kecuali budak-budak yang
kamu miliki (Allah telah menetapkan hukum itu) sebagai ketetapanNya atas kamu.
Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri
dengan hartamu untuk dikawini bukan untuk berzina. Maka isteri-isteri yang
telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka
maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban, dan tiadalah mengapa bagi kamu
terhadap sesuatu yang kamu telah saling merelakannya, sesudah menentukan mahar
itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”(surah An-Nisaa’,
4:23-24)
Batasan Aurat Yang Boleh dilihat Oleh Mahram
Mahram boleh melihat sesuatu yang biasa nampak dari aurat
seseorang wanita seperti anggota-anggota wuduk. Daripada Ibnu Umar r.a, ia
berkata: “Dahulu kaum lelaki dan wanita pada zaman Nabi s.a.w melaksanakan
wuduk secara bersama-sama.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dapat difahami daripada peristiwa ini ia adalah khusus bagi
para isteri dan mahram. Menurut Ibnul Jauzi: “Di dalam hadis tersebut terdapat
suatu penjelasan yang menunjukkan bahawa seseorang lelaki boleh melihat
anggota-anggota wuduk bagi mahramnya, demikian juga sebaliknya.” (Ibnul
Jauzi, Jami’ Ahkam an-Nisaa’, 4/195)
Kesimpulannya, wanita dibenarkan tidak menutup di bahagian
tertentu pada auratnya apabila berdepan dengan mahram. Dan wajib mengenakan
penutupan aurat dengan sempurna kepada selain mahram iaitu kepada
sebagaimana individu yang dijelaskan di atas.
~ Sumber Dunia Maklumat ~
0 comments