KANSER KEDUA ANCAM NYAWA

Tuesday, September 24, 2013



KANSER KEDUA ANCAM NYAWA





Kanser pangkal rahim adalah kanser kedua yang sering mengancam nyawa wanita. Malah statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kira-kira 250,000 wanita meninggal dunia setiap tahun akibat kanser serviks di seluruh dunia.
Lebih membimbangkan, kanser pangkal rahim menyebabkan kematian seorang wanita setiap dua minit di seluruh dunia.

Kanser Serviks adalah penyakit yang paling ditakuti oleh semua golongan wanita. Walaupun penghidap penyakit kanser serviks tidak seramai penghidap penyakit kanser payudara, kanser serviks ini lebih merbahaya dan menakutkan.
Kanser serviks di antara kanser yang kerap dihadapi wanita dan kanser ini adalah kanser yang menyerang organ reproduksi wanita. Kanser ini berlaku apabila sel yang normal pada pangkal rahim (serviks) bertukar menjadi sel barah ( membiak pada kadar yang sangat cepat) .

Kanser Serviks ini adalah disebabkan oleh virus human papilloma yang boleh berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imun badan selalunya akan dapat menangkis serangan virus ini, tetapi bagi sebahagian kecil wanita, virus human papilloma berpeluang untuk hidup bertahun-tahun sehingga menukarkan sel yang terdapat pada permukaan serviks (pangkal rahim) kepada sel kanser. Separuh daripada penghidap kanser ini adalah mereka yang berusia di antara 35-55 tahun.
Melalui ujian saringan Pap Smear, kadar kematian pesakit kanser serviks berkurangan secara drastik mengikut tahun. Akan tetapi, kanser serviks ini masih merupakan pembunuh ke-2 terbanyak di kalangan wanita selepas kanser payudara.

Dianggarkan 1,500 wanita di negara ini disahkan mendapat kanser serviks setiap tahun. Kanser serviks menyumbang enam peratus daripada jumlah kematian akibat kanser di kalangan wanita.
Di Malaysia, kanser pangkal rahim adalah barah ketiga yang biasa berlaku di kalangan wanita selepas kanser payu dara dan kolorektal. Kanser berkenaan boleh menyerang mana-mana wanita, tidak kira usia dan latar belakang keturunan.

Risiko berhadapan dengan kanser terbabit meningkat seiring usia tetapi selalunya lebih terdedah di kalangan mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun. Biarpun begitu, langkah pencegahan adalah lebih penting berbanding usaha untuk merawatnya.
Antara cara berkesan adalah meningkatkan kesedaran di kalangan wanita untuk bertindak sekarang dan melakukan pencegahan supaya tidak termasuk dalam kategori penghidap kanser pangkal rahim.
Katanya, melalui pemeriksaan kesihatan yang dilakukan secara rutin, kanser pangkal rahim ­dapat dikesan lebih awal, ­seterusnya membantu seseorang wanita ­menjalani rawatan sebelum terlewat dan peratusan pemulihan juga adalah lebih ­tinggi.

Pendidikan untuk memupuk kesedaran mengambil vaksin Human Papilloma Virus (HPV) dan ujian Pap smear mampu membuat perubahan yang besar.
Kanser ini mudah dikesan pada peringkat awal, justeru pe­ngesanan awal dapat membantu menyelamatkan nyawa wanita. Ketika ujian Pap Smear baru diperkenalkan, jumlah wanita yang menghidap kanser pangkal rahim jatuh mendadak sehingga 70 peratus. Ujian mudah itu perlu dilakukan secara rutin di  klinik yang menyediakan perkhidmatannya Pap Smear.

Biarpun semua wanita berisiko mendapat kanser pangkal rahim, ia mudah dielak dan dirawat sekiranya langkah pencegahan diambil atau dikesan lebih awal. Biarpun ia sebenarnya satu penyakit yang boleh mengancam nyawa, masih ramai wanita yang malu memperkatakannya.
Ketua Pusat Pengesanan Kanser Wanita berkata, kanser pang­kal rahim berpunca daripada virus HPV dan ia boleh berlaku kepada sesiapa saja manakala lelaki boleh menjadi pembawa kepada virus itu.
Gaya hidup bebas di kalangan segelintir wanita yang bertukar pasangan bagi menjalinkan hubungan intim, boleh mendedahkan mereka kepada risiko mendapat barah pangkal rahim.
Selain penyakit kelamin, kurang kesedaran untuk menjaga kebersihan alat sulit, menjalin hubungan seks dengan ramai pasangan, memulakan hubungan seks pada usia muda dan merokok juga boleh menjadi penyumbang kepada penyakit kanser berkenaan.

Setiap tahun, ada 300 kes baru bagi kanser pangkal rahim dan di Asia Pasifik, setiap empat minit seorang wanita meninggal dunia akibat penyakit itu. Separuh daripada jumlah wanita yang dikesan menghidap kanser pangkal rahim pula akan mati akibat penyakit berkenaan.
Di Malaysia, wanita berbangsa Cina mencatat kes tertinggi bagi penghidap kanser pangkal rahim iaitu 20 pesakit bagi setiap 100 orang, berbanding bangsa lain. Namun ia sebenarnya disebabkan kesedaran yang lebih tinggi untuk menjalani pemeriksaan pengesanan serta kerelaan mereka mendapatkan rawatan. Risiko selalunya muncul pada usia 30 tahun dan tempoh puncaknya apabila wanita mencapai usia sekitar 65 hingga 69 tahun.

Biarpun HPV sememangnya ada di kalangan manusia tetapi 80 peratus daripadanya akan bertukar menjadi kanser, dengan jenis HPV 16 serta HPV 18 paling biasa berlaku.
Bagi mereka yang sering terkena jangkitan pada bahagian sulit, perlu lebih berhati-hati untuk menjalani ujian kerana 80 peratus wanita akan mendapat jangkitan HPV sepanjang hidup mereka. Ia selalunya dibersihkan oleh tubuh, namun ia mungkin masih tinggal dalam tubuh sekiranya jangkitan sering berlaku.
Apatah lagi bagi mereka yang sering bertukar pasangan, golo­ngan ini perlu lebih mengambil berat untuk menjalani pemeriksaan terutama sekiranya wujud rasa sakit ketika hubungan kelamin atau berlaku pendarahan.

Bagi wanita berusia yang sudah kematian pasangan mereka selama beberapa tahun, mereka masih perlu menjalani ujian Pap Smear kerana virus HPV boleh hidup dalam jangka lama di dalam tubuh dan mencapai kemuncaknya selepas tempoh tertentu.
Selain itu, kuman HPV merebak melalui ibu kepada anak iaitu ketika proses kelahiran, pakaian dalam tidak bersih, sarung tangan pembedahan doktor serta forsep biopsi yang tercemar dengan HPV.
Virus itu me­ngambil masa antara 10 hingga 20 tahun untuk berkembang. Oleh itu, penting untuk menjalani ujian Pap Smear bagi mengesannya sebelum ia merebak atau mengambil suntikan vaksin HPV.
Sekali terkena HPV, mung­kin badan boleh membersih­kan virus itu tetapi sekiranya berkali-kali dan ketika sistem pertahanan tubuh lemah, ia boleh mendedahkan seseorang kepada kanser pangkal rahim.
Ada tiga jenis ujian Pap Smear yang boleh dilakukan tetapi minta doktor jalankan ujian lebih khusus iaitu HPV DNA yang lebih tepat untuk mengesan risiko seseorang terdedah kepada kanser berkenaan.

Apa itu ujian Pap Smear?

Ujian Pap Smear dilakukan bagi mengesan sebarang keganjilan pada pangkal rahim seperti sel sebelum kanser. Doktor akan mengambil sedikit tisu pada permukaan pang­kal rahim dan dihantar ke makmal untuk diuji. Wanita digalakkan menjalani ujian itu setiap tahun bagi mengesan kanser pada pering­kat awal bagi menyelamatkan nyawa mereka.

Simptom kanser pangkal rahim

Pendarahan ketika melakukan hubungan seks
Pendarahan pada pertengahan bulan
Pendarahan selepas menopaus
Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj
Sakit ketika melakukan hubungan seks
Rasa pedih ketika membuang air kecil
Wanita berisiko:
Mempunyai lebih daripada seorang pasangan
Mula aktif hubungan seks sebelum usia 18 tahun
Mengalami jangkitan kuman seperti sifilis, gonorea, chlamydia atau HIV
Kurang daya tahan imun
Merokok

Fakta kanser pangkal rahim

Berlaku apabila sesetengah sel dalam tubuh tidak berfungsi dengan betul, sel membahagikan diri terlalu cepat atau mengeluarkan terlalu banyak tisu yang kemudiannya membentuk ketumbuhan.
Selalunya ia memakan masa bertahun-tahun ­untuk sel normal di bahagian pangkal rahim bertukar menjadi kanser, tetapi dalam sesetengah keadaan, ia boleh berlaku hanya dalam tempoh yang singkat.
Vaksin HPV disarankan diberikan kepada kanak-kanak perempuan berusia antara 13 tahun hingga wanita dewasa berusia 26 tahun. Jika doktor mempunyai alasan kukuh, ia juga boleh diberikan seawal usia sembilan tahun.

Vaksin diberikan menerusi tiga suntikan dalam tempoh enam bulan. Ia perlu diberikan sebelum berlaku hubungan seksual atau sebelum terkena virus HPV.
Namun, vaksin berkenaan mungkin tidak cukup untuk melindungi semua orang. Justeru, pemeriksaan rutin dengan doktor perlu dilakukan.

Virus HPV belum ada penawar dan satu-satunya cara terbaik mengelak diri daripada terkena virus itu adalah dengan mengelak hubungan seks secara bebas.
Ujian Pap Smear perlu dimulakan pada usia 21 tahun. Bagi mereka yang mendapat keputusan negatif atau tiada sejarah ujian Pap Smear tidak normal, perlu meneruskan pemeriksaan setiap tiga tahun.
Kanser pangkal rahim adalah jenis kanser paling biasa menyerang wanita United Kingdom yang berusia 35 tahun ke bawah. Sejak 10 tahun lalu, ia meningkat secara mendadak sehingga 15 peratus dan menyerang wanita berusia lewat 20-an di negara berkenaan.

Ia juga kanser paling biasa berlaku di kalangan wanita di negara Afrika Selatan dan Amerika Tengah.
Dua pertiga wanita yang menghidap kanser ­pangkal rahim hidup selama lima tahun atau lebih.
Wanita yang mempunyai ibu atau saudara perempuan yang menghidap kanser pangkal rahim mempu­nyai risiko lebih tinggi menghidap kanser ini.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, satu daripada 28 wanita berbangsa Cina terdedah kepada risiko kanser pangkal rahim manakala satu daripada 34 wanita India berisiko dan satu daripada 80 wanita Melayu terdedah kepada kanser terbabit.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya 41 peratus wanita di negara membangun mendapat rawatan yang diperlukan untuk menyelamat­kan nyawa mereka.

Sumber ~ Info Kesihatan


Disediakan oleh Ana Solehahdunia Ilhamku ~ 24 September 2013, 1:00pm.


You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook

Cbox

Subscribe