KISAH CINTA DAN PERSAHABATAN PAHLAWAN TELADAN

Sunday, January 19, 2014

KISAH CINTA SALMAN AL FARISI 

.

Bismillaahirrahmanirrahim, pernah dengar nama Salman Al Farisi? Salah seorang sahabat Rasulullah SAW... Mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mencari agama yang benar, agama Islam.

Salman Al Farisi adalah salah seorang sahabat Nabi saw yang berasal dari Persia. Salman sengaja meninggalkan kampung halamannya untuk mencari cahaya kebenaran. Kegigihannya berbuah hidayah Allah dan pertemuan dengan Nabi Muhammad saw di kota Madinah. Beliau terkenal dengan kecerdikannya dalam mengusulkan penggalian parit di sekeliling kota Madinah ketika kaum kafir Quraisy Mekah bersama pasukan sekutunya datang menyerbu dalam perang Khandaq.

Sebagaimana kisah beliau dalam mencari kebenaran dalam agama, kesungguhan dan ketabahan beliau, sehinggalah menemukan agama Islam sebagai agama benar, begitu jugalah hebatnya kisah cinta Salman Al Farisi سلمان ألفارسىّ ...

Berikut ini adalah sebuah kisah yang sangat menyentuh hati dari seorang Salman Al Farisi:  Tentang pemahamannya atas hakikat cinta kepada perempuan dan kebesaran hati dalam persahabatan.

Di saat dia merasakan sudah layak baginya untuk menyempurnakan separuh daripada agama. Dia sudah siap untuk melamar seorang gadis solehah dari kaum Ansar, yang selalu meniti di bibir para pemuda di Kota Madinah.

Memperolehi cinta wanita solehah itu ibarat membelai cinta para bidadari di Syurga. Wanita solehah itu telah menambat hatinya untuk menuntun karya-karya indah bak lakaran pelangi, penuh warna dan cinta.

Madinah bukanlah tempat kelahirannya. Jadi beliau menjemput sahabat karibnya dari kaum Ansar untuk urusan melamar.  Abu Darda’ أبو الدّردآء sebagai teman perantara ketika bertemu keluarga wanita solehah itu.

“Subhanallah... alhamdulillah” terpancut kata-kata dari mulut Abu Darda’, tanda takjub dan syukur di atas niat suci temannya itu. Dia begitu teruja kerana dapat membantu temannya dalam hal baik sebegini.

Maka menujulah mereka ke rumah wanita solehah yang menjadi buah mulut para pemuda gagah perkasa di Kota Madinah.

“Saya adalah Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya Salman Al Farisi. Allah SWT telah memuliakannya dengan Islam, dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah SAW hingga Rasulullah menyebut beliau sebagai sebahagian daripada ahli bait-nya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar puteri kalian untuk dipersuntingnya” berkata Abu Darda’ kepada keluarga wanita tersebut. Susunan bahasanya cukup tertib dan indah.

“Menerima kalian berdua sebagai tetamu, sahabat Rasulullah yang mulia sudah menjadi penghormatan terbesar buat kami. Dan adalah kehormatan lebih besar bagi keluarga kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah SAW yang utama. Akan tetapi hak untuk memberi kata putus tetap sepenuhnya berada di tangan anakanda puteri saya. Saya serahkan kepada puteri kami untuk memperhitungkannya” wali wanita solehah memberi isyarat ke arah hijab, di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.

“Silakan tuan...” balas Abu Darda’.

Selepas beberapa minit berlalu, datanglah walinya memberi kata pemutus daripada sang puteri kesayangannya.

“Maafkan kami di atas apa yang saya akan katakan. Kerana kalian tetamu terhormat kami, sahabat baginda Rasulullah yang amat dicintainya. Kami hanya mengharap redha Allah bersama kita semua. Sebenarnya puteri saya telah menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Darda’ mempunyai hajat yang sama, puteri kami senang menerima pinangannya dengan penuh syukur” kata-kata wali wanita solehah itu tidak sedikit pun mengejutkan Salman al-Farisi. Malah, beliau menyambutnya dengan alunan tahmid yang tidak putus-putus. Subhanallah...

Jelaslah wanita solehah itu hanya memilih Abu Darda’ sebagai pasangan hidupnya berbanding hajat asal datang daripada Salman al-Farisi.

Bayangkan andai kita berada di posisi Salman Al Farisi, mungkin kita telah menyalahkan diri kerana telah tersalah membawa pendamping, teman bicara.

Namun lain pula jawaban Salman Al Farisi, “Allahu Akbar... Maha Suci Allah telah memilih teman baik saya sebagai pengganti” dengan penuh rasa kebesaran, Tuhan menyelinap roh cinta-Nya memenuhi jiwanya yang kerdil.

“Semua mahar dan nafkah yang telah ku persiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, teman baik ku dunia akhirat. Dan aku akan menjadi saksi pernikahan bersejarah kalian...”

Air mata kasih dan syukur membening suasana redup di suatu petang itu.

Begitulah jawaban Salman Al Farisi.

Subhanallah, begitu kagum dan takjubnya saya ketika membaca kisah cinta beliau. Reaksinya yang begitu bersahaja sudah menunjukkan yang beliau adalah pencinta sejati. Akur akan ketentuan Allah Ta'ala.

Sejatinya bukan kerana beliau adalah sahabat Rasulullah, tetapi rahmat dan kasih sayang Ilahi yang senantiasa menemani sekeping hatinya untuk terus MEMBERI...

MEMBERI itu tidak bererti mengurangi apa yang ada, tapi bersyukur dengan apa yang dimiliki. Tidak bimbang dengan apa yang tiada...

Salman Al Farisi yang begitu setia dan utama di sisi Rasulullah juga diuji sedemikian hebat apabila cintanya ditolak oleh gadis solehah idamannnya. Dan yang lebih mengejutkan lagi, sahabat baiknya yang pada awalnya dijadikan 'teman bicara' untuk meminang malah yang menjadi pilihan si gadis solehah itu.

Dan bagaimana pula reaksi jika kita meletakkan diri kita di tempat dan situasi seperti Salman al-Farisi? Mampukah kita memberi dan membenarkan segalanya dengan keikhlasan?? Sudah pasti akan timbul sedikit rasa marah pada mulanya dan diikuti rasa terkejut.

Tapi berlainan dengan Salman Al Farisi. Beliau begitu kuat menerima setiap ketentuan Illahi dengan penuh rasa syukur dan redha. Baginya, satu pekerjaan yang besar lagi mulia adalah dengan MEMBERI...

Kisah beliau mengajar kita bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT Yang Maha Mengetahui tentang sesuatu yang tidak kita ketahui...


“Tidaklah seseorang dari kalian sempurna imannya, sampai ia mencintai untuk saudaranya sesuatu yang ia cintai untuk dirinya.” [HR Bukhari]

Semoga bermanfaat

Sumber: Bacaan Islamik

You Might Also Like

1 comments

  1. makasih atas infonya, dan jangan lupa kunjungi website resmi kami http://bit.ly/2QIiGD6

    ReplyDelete

Like us on Facebook

Cbox

Subscribe