HIKMAH DI SEBALIK UJIAN (4) (30)

Saturday, January 18, 2014


Menjalani kehidupan sebagai seorang insan di muka bumi ini, kita tidak dapat lari daripada diuji oleh Allah SWT. Ujian yang datang menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Masakan tidak. Ujian mengajar seseorang untuk jadi lebih cekal dalam menggalas setiap bebanan kehidupan.

Hidup ini ibarat roda. Adakalanya kita gembira, dan adakalanya kita bersedih. Bila kesedihan melanda, hati mula terasa pedih, semangat mula terpadam sedikit demi sedikit. Tiada lagi keghairahan untuk melakukan kerja. Tiada lagi kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Tiada lagi senyuman yang terpancar di wajah. Semuanya tampak suram. Tiba-tiba dunia menjadi gelap. Sangat-sangat gelap untuk kita.



PUISI

Ketika kesendirian merejam hati…
Termangu…
dan ku terjebak dalam Suramnya dunia…
Keheningan kini seakan setia temani ku kembali…
Duhai engkau hati…
Bersabarlah…

“Sungguh menakjubkan perkara orang mukmin: iaitu jika mendapat kebahagiaan ia bersyukur kerana itu yang terbaik baginya, jika tertumpah musibah ia pun bersyukur kerana itu yang terbaik baginya.” [HR.Muslim]

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” [Al-Baqarah: 153].

Di saat yang tepat dia pun datang…
Datang membawa berjuta keanggunan Ciptaan-MU…
Memberi terang di saat ku perlukan cahaya…
Saat senyum,,, canda dan tawa menghangatkan kalbu…
Sungguh indah duniaku saat itu…
Saat ku perjuangkan cintaku…
Bersamamu…
Namun inilah perjalanan hidup yang harus ku lalui…
Cubaan demi cubaan begitu deras bagai hujan…

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” [ al-baqarah 286]

Kerana ini jalan yang KAU beri…dan aku tidak membencinya….

“Jika kejahatan dibalas dengan kejahatan, maka itu adalah dendam,...jika kebaikan dibalas dengan kebaikan itu adalah perkara biasa,...jika kebaikan dibalas kejahatan itu adalah zalim,...tapi jika kejahatan dibalas dengan kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.”

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” [ al-baqarah 216]

Ya Allah ku pasrahkan semua ini pada-MU…
Kerana ENGKAU yang maha membolak-balikkan hati kami…

“Cukup Allah menjadi saksi antaraku dan antaramu. DIA mengetahui apa yang di langit dan di bumi.” [ al-ankabut 52]

Maka janganlah kamu berputus asa…
Kerana sabar adalah kemenangan…

Untukmu…
Cintaku…




Jangan bersedih, sahabatku..

Setiap musibah itu datangnya daripada Allah swt. Hakikatnya, Allah swt tidak mendatangkan musibah itu kerana Dia zalim kepada kita. Akan tetapi, Allah swt berikan kita sesuatu musibah kerana Dia CINTAkan kita. Dikatakan bahawa, Allah SWT kasih kepada seorang manusia, 70 kali ganda melebihi kasihnya seorang ibu kepada anaknya. Jika Allah SWT kasih kepada kita, tentulah di sebalik setiap musibah, ada HIKMAH yang menanti. Tiada siapa yang mengetahuinya, melainkan Allah SWT. Namun yang pasti, setiap hikmah itu berkait rapat dengan CINTA NYA terhadap kita.

Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda:

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW ketika meriwayatkan satu hadis Qudsi telah bersabda; “Wahai anak Adam! Jika engkau terus bersabar (bilamana hilangnya sesuatu daripada dirimu) dan engkau harapkan pahala, maka Aku tidak rela membalasimu dengan balasan yang lebih rendah daripada syurga.”(HR Ibnu Majah).

Pelajarilah sabar daripada kisah Nabi Ayyub a.s. Allah SWT telah matikan anak-anaknya..tetapi baginda masih bersabar. Allah SWT telah hancurkan harta bendanya..namun baginda masih bersabar. Allah SWT menguji dengan penyakit..tetapi baginda masih boleh bersabar. Allah SWT uji dengan kejian dan cemuhan masyarakat, tetapi baginda masih bersabar. Dan akhir sekali, isteri yang dicintainya juga turut pergi meninggalkannya..tetapi baginda masih lagi bersabar.

Namun, kerana kesabaran baginda, selepas daripada semua musibah itu, Allah SWT telah mengurniakannya harta yang melimpah ruah. Allah SWT telah memberikan anak-anak yang ramai dan isteri yang solehah. Nabi Ayub a.s telah membuktikan CINTAnya kepada Allah SWT. Dalam keadaan susah mahupun senang, baginda tetap setia dengan CINTAnya kepada Allah SWT.

Jika hendak dibandingkan musibah yang Allah SWT berikan kepada kita dengan musibah yang Allah berikan kepada Nabi Ayub a.s, apalah sangat musibah yang sedang kita alami. Seharusnya, musibah ini akan membuatkan kita lebih sedar akan CINTAnya Allah kepada kita dan kita sebagai hambaNya, lebih-lebih lagi wajib mencintaiNya.

Manusia juga diuji dengan anak-anak. Ada orang mendapat anak yang cacat. Ada orang mendapat anak yang tenggelam dalam jenayah. Juga menjadi ujian buat dirinya. Ada orang pula mendapat anak yang baik serta bijak. Namun itu juga boleh jadi dugaan buat dirinya.

Ada orang yang diberikan dengan kesakitan. Sebagai satu peringatan samada dia ingat serta beriman kepada Allah atau tidak. Ada orang pula diuji dengan kesihatan, yang mana jika dia lalai sewaktu sihatnya. Maka itu akan jadi liabiliti padanya. Ada orang diuji dengan kehidupan. Ada orang diuji dengan kematian orang yang terdekat.

Ramai di antara manusia termasuk kita beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala dan musibah. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi. Malah ujian kesenangan sebenarnya lebih sukar kerana kebiasaannya manusia itu lupa kepada Tuhan tatkala dirinya mengecapi pelbagai kesenangan hidup.

Pendek kata, setiap orang akan, telah atau mungkin sedang diuji. Namun dengan cara yang berbeza, dengan perasaan yang berlainan. Inilah kebijaksanaan Allah SWT yang menjadikan sesuatu pada cara yang tersendiri.

Apabila seorang mukmin mengaku bahawa dia beriman kepada Allah, maka pasti dan pasti imannya akan diuji. Dan apabila seorang mukmin BERJAYA melepasi ujian tersebut, maka Allah akan naikkan darjatnya. Imannya akan meningkat. Yakinnya pada janji-janji Allah SWT akan meningkat. Justeru, amalnya juga akan turut meningkat. Dan Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan menzahirkan kenikmatannnya yang mencurah-curah. Allah akan berikan kepadanya nikmat ketenangan dan kebahagian yang lebih indah daripada kehidupan sebelum musibah tadi.

Sabar yang sebenar ialah pada detik pertama musibah melanda, lantas manusia yang bersabar terus redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit pun timbul rasa kecewa atau penyesalan. Mereka2 inilah yang akan mendapat khabar gembira tersebut walaupun dilanda kesusahan.

Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya manusia akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan gusar. Tetapi manusia yang bersabar menghadapi ujian akan menerima khabar gembira.

Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan segera ingat kepada Allah, bahawa hidup kita ini secara keseluruhannya adalah hak milik mutlak Allah - apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah.

Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.

"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan" (Al Insyirah: 5-6).

Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 surah al’-Ankabut;

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين


"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta." [al-Ankabut: 2-3].

Wallahua'lam

Sumber: Pelbagai

You Might Also Like

2 comments

  1. hikmah berada di hujung dugaan..hanya dengan kesabaran dan kebijaksanaan bru dapat kenal hikmah..

    ReplyDelete

Like us on Facebook

Cbox

Subscribe