SECEBIS KISAH - IBU DAN TEMPURUNG

Thursday, January 22, 2015


Ibu dan Tempurung
Ditulis semula oleh Ana Solehah DI


Badrul adalah satu-satunya anak Nenek Aminah. Mereka tinggal di sebuah desa kecil jauh dari kota. Desa yang sangat tenteram. Desa yang menebarkan aroma tumbuhan ibarat syurga dunia. Desa inilah tempat Nenek Aminah dan keluarganya membina kehidupan masa depan. Desa ini pula adalah tempat di mana Badrul menyulam mimpi-mimpinya. Badrul dibesarkan hingga meraih gelaran sarjana. Untuk membiayai pelajaran Badrul, siang dan malam Nenek Aminah membanting tulang seorang diri. Semua itu dijalaninya demi cinta kepada suaminya yang telah tiada sejak Badrul baru mulai belajar berjalan. Ayah Badrul menghembuskan nafas terakhirnya saat sedang mencari nafkah di ladang.

Hari demi hari mereka hidup dengan gembira. Nenek Aminah berusaha sekuat tenaga agar Badrul mampu menyandang gelaran sarjana. Agar Badrul fokus dengan studinya, Nenek Aminah melarang ia untuk bekerja. Padahal Badrul sudah mampu untuk mencari nafkah dan menentukan jalan hidupnya sendiri. Badrul tidak ingin terus menerus menyusahkan ibunya. Dia tidak mahu hanya berpangku tangan untuk meraih masa depan dan cita-citanya. Tapi demi rasa cintanya kepada Nenek Aminah, dia pun tidah mahu memberontak dan dengan berat hati menuruti kemahuan ibunya.

“Jangan berdebat masalah ini lagi. Kamu belajar dan terus belajar sampai kamu benar-benar sukses. Apa kamu mahu menjadi seperti ayahmu? Hidup susah, untuk mencari makan sehari harus pontang-panting mencari duit ke sana ke mari. Tapi apa yang dia dapat?. Untuk memenuhi perut seorang pun tidak cukup. Yang penting kamu belajar setelah selesai nanti baru bekerja. Tak usahlah kamu memikirkan kerja dulu. Ibumu ini masih kuat untuk membiayai pelajaran kamu”.

“tapi bu….”

“Sudah tidak ada tapi-tapinya, kalau kamu sayang ibu turuti keinginan ibu” Nenek Aminah memotong hujah Badrul yang sedang beralasan ingin bekerja sambil belajar. Namun Badrul pun tak berdaya. Dia sangat mencintai ibunya. Dia tidak mahu menyakiti hati ibunya itu. Dia sedar selama ini ibulah yang telah membimbing dan membesarkannya sendirian. Dengan tangannya Nenek Aminah memberi sepenuh kasih sayang dan memainkan peranan seorang Ayah demi Badrul seorang. Badrul akur dengan keputusan ibunya kerana itu memang yang terbaik untuknya. Tetapi hati kecilnya membantah. Dia tidak sanggup melihat ibunya terus membanting tulang untuk dirinya yang sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri. Seharusnya dia lah yang memberi ibunya itu kesenangan. Dia di dalam dilema yang menggetarkan jiwanya. Melihat kedutan di dahi Nek Aminah, petanda ibunya sudah tua, dia tidak mampu berkata-kata lagi.

Sehari-hari, kata-kata Nenek Aminah terus menjadi bayang yang menghantui diri Badrul. Teringat kata-kata ibunya membuatkan Badrul bersungguh-sungguh dengan pelajarannya. Kata-kata itu telah menaikkan semangat belajarnya agar segera diselesaikan. Dan dia harus mendapatkan gelaran sarjana seperti pinta ibunya dengan segera. Setelah itu dia akan menunaikan janji untuk membalas jasa ibunya yang telah menjaga dan membesarkannya sampai saat ini.

Dan akhirnya, Badrul pun meraih gelaran sarjananya. Dia mendapat keputusan cemerlang. Lalu Badrul pun ingin segera mencari pendamping hidupnya. Agar ada yang menjaga ibunya ketika dia bekerja nanti. Nenek Aminah pun tidak menolak keinginan Badrul, dia mengerti anaknya ingin berumahtangga dan membangunkan keluarga sakinah, mawaddah, warrahmah. Keluarga yang sarat dengan kebahagiaan. Dan Badrul pun menikah dengan gadis kota. Siti namanya.

Sesuai dengan adat, Badrul mengikuti isterinya untuk beberapa lama. Mengingatkan ibunya yang telah tua, Badrul yang merasa bertanggungjawab telah membawa Nenek Aminah ke kota setelah disepakati oleh isteri tercinta.

Ketika Siti Hamil, Nenek Aminah mulai sakit dan bahkan muntah darah. Siti mendesak agar ibunya mertuanya dibuatkan tempat tinggal berasingan, kerana mungkin ibunya terkena TB. Dia khuatir jika anaknya yang bakal lahir berjangkit penyakit itu.

“Abang, sebaiknya Ibu dibuatkan pondok saja di belakang rumah. Saya khuatir kalau penyakit Ibu boleh menjangkiti anak kita. Apa abang mahu anak kita sakit di usia muda?”

“Ada-ada saja kamu Siti!!, bagaimana kamu boleh berfikiran seperti itu? Dia itu ibuku bererti dia juga ibumu. Apa kamu sanggup mengasingkannya di saat dia sudah tua renta seperti itu? Dia memerlukan kita..anaknya..!!”setengah marah Badrul terkejut dengan permintaan isterinya.

Tapi abang juga harus memikirkan nasib masa depan anak mu ini abang!! Kalau dari kecil dia sudah berpenyakit, jangan-jangan anak ini bakal tak panjang umurnya!! Siti bertegas.

“Astaghfirullah… Istighfar Siti..Istighfar!!.. syaitan apa yang sedang merasuki mu?. Siti, hidup mati itu ada di tangan Allah, jangan kamu mendahuluiNya. Apalagi kamu membawa Ibu sebagai penyebabnya.. durhaka.. tidak baik.”

“Alaah sudah lah abang… kalau abang tidak mahu membuatkan ibu rumah di belakang, hantarkan saja aku ke rumah orang tuaku.” Siti sangat kesal dan ia pun berlalu.

Dengan berat hati Badrul membuatkan pondok di belakang rumahnya dan meminta ibunya tinggal di situ. Meskipun tidak berpelajaran, nenek Aminah sedar diri. Dia menganggap umurnya adalah sisa-sisa kesenangan hidup yang telah dinikmati dan dilaluinya. Dia cukup bahagia melihat anak dan menantunya hidup bahagia. Apalagi akan segera mempunyai cucu. Maka, dengan senang hati nenek Aminah tinggal di pondok belakang rumah.

Mula-mula segala keperluan Nenek Aminah terpenuhi, namun lama-kelamaan sering terlupakan. Makanan dibubuh di depan pondok dan Nenek Aminah mengambilnya dari dalam. Piring dan gelas pecah, Badrul lupa menggantikannya. Dan akhirnya tempurung yang tergeletak dekat pondok dipungut Nenek Aminah untuk tempat makan dan minumnya. Demikianlah keadaan Nenek Aminah sehari-hari. Dia menghabiskan sisa umurnya itu di pondok buruk yang tidak layak untuk dihuni. Dia hanya menunggu malaikat maut mengambil nyawanya. Nenek Aminah hidup dalam kepahitan, tapi baginya hal itu adalah kegembiraan, kegembiraan anaknya. Badrul tidak lagi mengurusi bahkan menjenguk ibunya. Dia telah melupakan janjinya sewaktu mula dahulu. Janji itu telah menutupi kehidupan dunianya.

Isteri  Badrul melahirkan anak lelaki dan diberi nama Bukari. Ketika mulai besar, Bukari dilarang bermain-main di sekitar pondok bahkan mendekat pun tidak boleh.

Suatu saat Badrul dan Siti keluar, Bukari di rumah sendirian. Ia ingin tahu mengapa dilarang mendekati pondok. Dia mengintip ke dalam pondok dan terlihat ada nenek pucat berambut putih sedang berbaring. Bukari bertanya dan Nenek Aminah menjawab bahawa dia adalah neneknya, ibu dari ayahnya.

“Nek bukakan pintu nek,” Pinta Bukari.

Alangkah gembiranya si nenek, seolah darah segar menyiram wajahnya yang pucat, seketika menjadi berseri-seri kerana girangnya. Langkah lucu dan suara anak inilah yang selama ini dirindukannya. Dia ingin memeluk dan mencium cucunya itu. Bukari hairan dan bertanya mengapa neneknya makan dan minum menggunakan  tempurung. Neneknya menjawab,

“Bukari, nenek sudah tua tidak usah pakai piring dan gelas, cukup pakai tempurung saja.”

Bukari pun kembali ke rumah sebelum ibu dan ayahnya pulang. Dia takut, kalau ketahuan pasti dimarahi. Hari itu menjadi hari terindah bagi Nenek Aminah. Pondok buruk seakan berubah menjadi rumah mewah di tengah taman syurga. Walaupun sekejap pertemuannya dengan cucu kesayangannya tapi baginya bertemu dan mendengar suara lucu Bukari, walau sekejap, adalah anugerah.

Pada suatu hari Bukari diajak ayah dan ibunya berjalan-jalan ke kota. Dia melihat tempurung di tepi jalan berlonggok di antara timbunan sampah. Bukari meminta kepada orang tuanya untuk mengambil tempurung itu. Permintaan aneh itu ditolak oleh Badrul dan Siti. Mereka malu untuk mengambilnya apalagi jika orang melihat anaknya mengutip tempurung. Sampah tak bermanfaat bagi orang kota. Dan hanya pantas diambil dan digunakan oleh orang-orang desa yang miskin.

Tapi sambil menangis Bukari meminta terus agar diambilkan tempurung itu. Terpaksa ibunya mengambil lalu bertanya,

“Bukari sayang, untuk apa tempurung ini?”

Tanpa berfikir panjang si kecil Bukari menjawab,

“Untuk tempat makan dan minum ibu kalau sudah tua seperti nenek”

Badrul dan Siti sangat hairan mendengar jawaban anaknya. Mereka bertanya,

“Mengapa begitu?”

“Bukankah nenek Bukari yang tinggal di pondok belakang rumah, makan dan minum hanya pakai tempurung. Kalau ibu sudah tua akan Bukari buatkan pondok yang buruk, dan tempurung ini untuk tempat makan dan minum ibu” jawab Bukari polos.

Di siang cerah itu Badrul dan Siti seperti disambar petir. Mereka baru menyedari segala tingkah laku mereka selama ini, yang mensia-siakan ibu mereka. Mereka sedar akan kekhilafan diri. Badrul dan Siti terpaku dengan bayangan masa lalu masing-masing. Badrul yang dulu pernah berjanji ingin mambahagiakan ibunya meng-flash back memorinya. Dulu dia berkeras ingin bekerja semata-mata kerana tidak ingin menyusahkan orang tuanya, tapi sekarang?. Demikian pula Siti, dia menyedari kesalahan besar yang telah dilakukannya. Dia membayangkan bagaimana seandainya jika masa tuanya nanti akan seperti Nenek Aminah. Dan tanpa terasa, air matanya membasahi pipi. Mereka hanyut dalam penyesalan yang sangat mendalam. Sedangkan Bukari hanya menyaksikan perlakuan orang tuanya itu dengan penuh tanda tanya, mengapa mereka menangis?.

“Ayuh... kita harus segera pulang, ada hal yang harus segera kita selesaikan sebelum terlambat atau kita akan menyesal seumur hidup” ujar Badrul

“iya abang, ayuh..!!”



Terima kasih kerana membaca sehingga habis... semoga bermanfaat.
Sumber: Bahan bacaan.


You Might Also Like

4 comments

Like us on Facebook

Cbox

Subscribe